Sunday, June 8, 2014

Kisah kandungan luar rahim

Assalamualaikum..

BismillahirRahmanirRahim

Hari ni nasuha berpeluang untuk cerita dan abadikan di sini kisah sebenar nasuha sendiri yang pernah mengandung luar rahim.

Erk pernah tak dengar kandungan luar rahim tu bagaimana? :) tentu ada yang tertanya-tanya.. macamana ya kandungan luar rahim? hidup ke kandungan anak di luar rahim? kandungan luar rahim tu kandungan yang orang panggil kandungan anggur ke? macamana kandungan anggur pula?

Jawapannya Kandungan luar rahim tidak sama dengan kandungan anggur. Kandungan anggur masih berlaku dalam rahim ya..

Kandungan luar rahim ialah kompilasi hamil mengandung di luar rahim. Kandungan tidak dapat diselamatkan sekiranya ianya berada di luar rahim.
Salah satu komplikasi hamil ialah mengandung di luar rahim. Ini terjadi apabila telur yang tersenyawa membuat implantasi di luar rahim. Kebanyakkan berlaku di dalam Salur Fallopian itu sendiri (>50%). Itulah sebabnya kandungan luar rahim juga dipanggil kandungan tubal (tubal pregnancy).
Tempat-tempat lain termasuklah ovari, serviks dan dalam ruang abdomen. Apabila janin membesar di tempat yang tidak sepatutnya,ia boleh pecah dan menyebabkan pendarahan. Ini boleh mengancam nyawa dan memberi kesan kepada tahap kesuburan anda.Sebab itulah sangat penting untuk wanita mengenali gejala dan tanda awal kandungan luar rahim ini kerana ia boleh menyelamatkan nyawa anda.
Saya ceritakan di sini buat tatapan dan perkongsian untuk kawan-kawan yang mencari-cari maklumat dan bagaimana untuk selesaikan masalah sekiranya berlaku kandungan luar rahim. Teringat lagi kisah saya sendiri yang sempat mencari-cari dalam google .. tercari-cari maklumat.. untuk buat keputusan bila dah tau yang saya mengandung luar rahim... sebab masa tu saya sendiri pun tak mengerti dan tak tau apa yang akan terjadi sekiranya memilih keputusan A atau B.

Kisah Sendiri

Kisah saya bermulanya begini. Pada awal bulan 10 tahun 2013 , saya merancang untuk mendapatkan cahayamata keempat.. time tu perasaan untuk mendapatkan cahayamata amatlah tinggi. Lebih-lebih lagi saya dah ada 3 orang anak, seorang perempuan dan dua laki-laki, yang kecil sekali dah berumur 4 tahun. Kalau diberi rezeki, anak sulong saya mengharap sangat dia dapat adik perempuan, tapi untuk saya.. saya terima setiap pemberian dari Allah swt. Masa tu kalau berbual-bual dengan kawan-kawan saya selalu cakap kalau diizinkan Allah swt, saya nak anak ramai .. tetapi :)
Kita merancang, Allah juga merancang, Dan Allah adalah sebaik-baik perancang-Nya.
Awal bulan 10 2013

Saya rasa tak sedap badan.. ada juga rasa macam mengandung.. tapi perasaan tu datang seperti bercampur biasa.. sekejap rasa tak sedap badan kejap rasa ok jer.. kemudian saya datang  bulan. Saya fikir oh patutlah nak datang bulan rupanya sebab tu lah rasa badan tak selesa. Mungkin perasaan untuk period pain tu tak sama kan.. pujuk hati sendiri.. so bila dah datang bulan tu.. ada terasa jugalah.. Oh tiada rezeki lagi.. :)

Kemudian kehidupan saya seperti biasa.. period saya kering pada hari seperti biasa..

2 Oktober 2013 (hari rabu)

Pada hari pertama saya sudah kembali boleh solat, tiba-tiba perut saya sebelah kiri terlalu sakit mungkin seperti gastrik atau angin satu badan. Kesakitan tu hingga tiba-tiba saya tak dapat bangun lansung, time tu saya berada di pejabat. So sahabat saya yang perihatin bagi saya ubat gastrik.. maybe saya tiba-tiba ada penyakit gastrik sebab sejak akhir-akhir tu kerja di pejabat terlalu sibuk hingga saya lewat makan pagi.

Masa sakit tu, saya rasa seperti ada kandungan yang gugur di dalam..perasaan tu datang apabila perut saya terlalu sakit.. sakit luar biasa. Tapi saya masih faham yang saya mungkin gastrik dan saya tak tau sebenarnya gastrik tu macamana.. :) sebab sakit ni adalah sakit luar biasa. Time tu memang tak pernah tau pun mengenai kandungan luar rahim.

Hampir sejam saya sakit..setelah makan ubat angin atau gastrik .. sakit semakin hilang dan saya kembali boleh bertugas di tempat kerja tetapi keadaan diri saya agak pucat dan tidak stabil.

Tetapi sakit saya hilang setelah turun sedikit darah, pada mulanya saya hairan dan cuba berfikir yang kemungkinan saya masih dalam tempoh haid  kerana masih tidak melebihi 15 hari.

3 Oktober 2013 (hari khamis)

Saya mengambil Cuti Rehat ke Klinik Swasta untuk mengetahui punca penyakit saya. Doktor cakap kemungkinan saya gastrik. Sekali lagi saya diberi ubat gastrik.. saya makan dan pada hari ni saya rasa makin kurang sakitnya.

4 Oktober 2013 (Hari Jumaat)

Saya ke pejabat seperti sediakala sehingga hari jumaat kerana sakit saya semakin hilang tapi diri saya dan perasaan saya masih tidak sihat, diri saya seakan sedikit pucat tidak seperti sediakala.

5 Oktober 2013(hari sabtu)

Bermula hari cuti minggu ku.. jam 5.30 pagi tiba-tiba perut saya terlalu sakit  .. seolah-olah kontraksi orang nak bersalin tu tapi herannya perut sebelah kiri yang sakit.. saya tak boleh berjalan.. terus husband berikan saya ubat gastrik serta makan dan minum. Kesakitan tu tak dapat saya bayangkan sebab terlalu sakit. Perasaan cemas, takut dan tertanya-tanya apa penyakit saya yang sebenarnya. Semasa sakit saya ke bilik air sebab rasa cam nak membuang.. dalam bilik air saya hampir tak dapat bangun. Saya mohon pada Allah swt supaya panjangkan umur saya. Beberapa jam kemudian sakit kembali reda tapi saya masih tidak bermaya dan masih tidak ke hospital kerana saya fikir saya hanya gastrik.

6 Oktober 2013 (hari ahad)

Sakit kembali reda. Tetapi saya masih tidak dapat bangun membuat kerja-kerja rumah. Keesokannya.


7 Oktober 2013 (hari isnin) jam 8.30 pagi hingga 10.00 pagi

Saya boleh kembali berjalan, bergerak dan memandu kenderaan untuk ke pejabat. Tapi sebelum ke pejabat pagi tu saya buat keputusan untuk ke Klinik Kesihatan bagi mengetahui masalah sebenar.

Tiba di Klinik Kesihatan, bila jumpa doktor dan saya ceritakan kesakitan saya, terus dr cakap.. 'mungkin awak mengandung kot nasuha, tapi kena test urine dulu'

Time tu saya bagitau doktor, tak mungkin doktor sebab saya baru saja datang bulan. Dr. bagitau saya, kemungkinan awak boleh mengandung dan ada juga ibu-ibu yang mengandung walaupun dalam haid.

Walaubagaimanapun saya disuruh untuk menjalani urine test.

Setelah menjalani ujian urine saya telah disahkan mengandung oleh seorang doktor. Terus saya di bawa ke bilik scan untuk mengetahui masalah kesakitan saya. Saat perasaan gembira pun ada bercampur risau. Setelah menjalani imbasan pada perut didapati tiada kandungan dalam rahim saya dan doktor nampak ada sesuatu pada perut di sebelah kiri iaitu pada tiub fallapio sebelah kiri.

Saya disahkan di Klinik Kerajaan kemungkinan saya mengandung luar rahim pada hari yang sama saya dikehendaki untuk rujuk di Hospital bagi mengesahkan kandungan.

Ke Hospital pada 7 Oktober jam 10 pagi.

Saya terus menuju ke Hospital Tuanku Fauziah dengan segera dengan memandu kenderaan sendiri. :) Time tu husband saya kerja. Oleh kerana saya tak sakit, saya cuba pergi sendiri.

Di Hospital, Doktor pakar juga beranggapan saya mengandung luar rahim dengan mesin imbasan dan perlu admit ke Wad untuk tindakan pengesahan selanjutnya dengan ujian darah. Keputusan kandungan akan disahkan melalui ujian darah.

Fuh.. takutnya time tu.. saya ditolak ke wad menggunakan wheelchair oleh seorang jururawat hospital. Terus saya menghubungi suami saya untuk segera hadir ke Hospital membawa semua kelengkapan pakaian saya di wad nanti.

Setibanya di wad, saya menjalani ujian darah kali pertama pada petang 7 Oktober 2013.

Mengikut nasihat doktor, saya perlu menjalani dua kali ujian darah selama selang dua hari. Untuk mendapatkan nilai bacaan kandungan, sekiranya nilai bacaan bertambah daripada ujian darah yang pertama ternyata saya telah mengandung. (tu baru result mengandung)

Pertambahan jumlah Nilai darah yang diambil menurut doktor, adalah berbeza antara kandungan biasa dan kandungan luar rahim. Melalui ujian darah doktor boleh mengesahkan yang saya mengandung luar rahim.Ujian darah perlu diambil selang dua hari daripada ujian darah yang pertama.

Saya masih berkampung di Wad Hospital :) menunggu ujian darah kali kedua, saya diberi peluang kerana saya kurang merasa sakit seperti hari yang lepas, walaubagaimanapun doktor nasihatkan saya agar saya berehat di wad kerana bimbang sekiranya saya betul-betul mengandung luar rahim dan bimbang sekiranya kandungan itu terpecah dalam perut.

9 Oktober 2013 saya menjalani ujian darah kali ke-dua

Setelah menjalani ujian darah kali ke-2 pada jam 10 pagi. Saya telah disahkan mengandung luar rahim pada jam 12.00 malam.

Pada malam tu, kesakitan saya semakin reda. Keputusan pun telah diterima. Perasaan takut bercampur apabila pakar memanggil saya, dan berbincang. Saya diberi 2 pilihan oleh seorang Pakar Perempuan kelahiran Kelantan berwatak amatlah lembut.

Saya diberi 2(dua) pilihan untuk membuang kandungan luar rahim iaitu:

A) Secara Pembedahan Laparoskopi atau;
B) Suntikan MTX

Apabila saya bertanya Pakar Perempuan pada malam itu, Doktor pakar sarankan saya menerima Pembedahan Laparoskopi kerana bimbang katanya sekiranya suntikan MTX tidak berjaya dan kandungan terpecah didalam perut.

Saya pada malam itu bersetuju untuk memilih kaedah Pembedahan Laparoskopi.

10 Oktober 2014

Setelah bersetuju membuat pembedahan Laparoskopi, saya bersedia seawal subuh, husband pun disuruh datang seawal jam 7.15 pagi untuk menandatangi surat persetujuan melakukan Laparoskopi.

Kami menunggu dan terus menunggu hingga jam 9.00 pagi sehinggalah seorang Ketua Pakar (Lelaki pula) datang dan memberi maklumat yang jumlah bacaan kandungan luar rahim saya adalah kecil yang saya diberi pilihan lagi samada :

A) Secara Pembedahan Laparoskopi
B) Suntikan MTX

Panjang Pakar memberitahu satu demi satu , memandangkan usiaku masih muda katanya.. Pakar Lelaki pula mencadangkan saya mencuba Suntikan MTX. Hanya suntikan, tidak perlu melakukan pembedahan. Melalui suntikan ini, Sel kandungan akan mengecil, dan lama-lama kandungan akan hilang sendiri. Maknanya tiub sebelah kiri ku akan selamat. Setelahku berfikir dan memohon petunjuk akhirnya saya memilih kaedah suntikan MTX.

Mendengar nasihat itu, saya akhirnya bersetuju melakukan suntikan MTX pula... 

Pada Jam 1.30 petang. Saya telah disuntik dengan suntikan MTX. Keesokannya saya dibenarkan pulang. Dan rawatan susulan ialah saya perlu hadir mengikut hari yang ditetapkan untuk proses ambil darah dan melihat bacaan kandungan samada mengecil atau tidak.Tahukan anda apakah suntikan MTX? Sekiranya mengecil hingga bacaan Zero.. Alhamdulillah suntikan itu akan dikira berjaya.

11 Oktober 2013
Saya dibenarkan pulang dari wad .. dan akan hadir mengikut tarikh yang ditetapkan untuk ujian darah pada 14 Oktober 2013.

12-13 Oktober 2013
Saya masih berehat dirumah. Saya tidak boleh melakukan kerja-kerja rumah. Sakitnya .. saya kurang sihat.. tak bermaya rasanya. Nak angkat kaki pun tak mampu.

14 Oktober 2013
Saya ke Wad kembali untuk ujian darah. Setibanya di wad.. saya rasa sakit sangat macam kontraksi. Pakar cek .. memang masa tu, perut belah kiri saya seolah-olah bengkak. Tapi pakar suruh saya banyakkan berehat dan berharap suntikan ini berjaya tanpa pembedahan. Saya dibenarkan pulang kembali ke rumah.

Petang jam 6, 14 Oktober, pihak hospital menelefon saya dan memaklumkan keputusan darah yang menggembirakan dimana bacaan jumlah kandungan saya semakin menurun. Saat tu, dirasakan kesakitan semakin kurang.Malam tidur penuh kebimbangan juga.

15 oktober 2013

Harini merupakan Hari Raya Pertama Aidiladha. Bangun pagi saya rasakan perut saya kurang sakit, saya sangkakan saya semakin sihat. :)

Husband ke masjid menunaikan Solat Aidiladha. Saya di rumah bersama anak-anak.

Hrmm sedih pula pagi raya takder makanan, First time kami beraya di Negeri Perlis, sebelum ni setiap kali raya kami akan pulang beraya di Kelantan bersama Ibu, ayah dan adik beradik....

Saya memilih untuk goreng bihun, masak perlahan-lahan.

Setibanya husband dari masjid. Kami sama-sama makan bihun goreng sebagai juadah kami sekeluarga di pagi raya tahun ini. Alhamdulillah Syukur...

Selepas makan bihun, tiba-tiba perut saya semakin sakit.

Sakit daripada pagi.. hinggalah waktu zohor.. teramat sakit.. hanya Allah yang tau.. perasaan takut .. macam-macam hadir..ketika tu, suami saya, Fikri kata.. nampak gayanya.. "Sayang kena pergi Hospital balik dah ni.. kalau tak tahan"...

Sehinggalah saya hendak solat Zohor, semasa hendak solat, saya tak dapat berdiri, saya baring kembali, tiba-tiba anak bongsu saya datang dan jatuhkan badannya di sisi saya. Allahuakbar.. sakitnya saat tu.. darah tiba-tiba turun ..

Bergegas saya bangun melihat darah yang turun. Fikri serta merta bersiap cepat-cepat untuk ke Hospital membawa bersama-sama ketiga-tiga anak-anak saya.

Kembali ke Hospital

Sampainya di Hospital, saya terus dihantar ke Kecemasan. Dari saat itu, saya semakin lemah, wajah semakin pucat.. Doktor yang merawat saya sesegera menyiapkan dokumen untuk dihantar ke Wad Pembedahan. Katanya saya dah kehilangan banyak darah dan kandungan luar rahim telah pecah juga akhirnya dalam perut sebelah kiri.

Saya akhirnya dibedah pada jam 3 petang dengan bius secara penuh ..

Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Illahi, kerana saya telah selamat menjalani pembedahan. Saya akhirnya dibedah juga. Ini bermakna suntikan MTX yang telah saya ambil tidak berjaya merawat masalah ini.

Rumusan dan Kesimpulannya.. 

Kepada kawan-kawan atau saudari yang mempunya nasib yang sama, segeralah melakukan pembedahan Laparosokopi. Pembedahan Laparoskopi bagi kandungan luar rahim adalah lebih selamat.

Seperti saya, suntikan MTX tidak berjaya, saya bukan lagi ditebuk (Laparoskopi), tetapi dibedah lebih besar seperti ibu bersalin secara pembedahan.

Kita Merancang..Allah Juga Merancang..

Sebaik-baik perancangan ialah di atas kekuasaan Allah SWT jua. Maka apalah daya yang dapat diperkatakan jika apa yang kita rancang pada awalnya tidak dapat diterjemahkan menjadi sebuah kenyataan. Redha di atas ketentuan Ilahi yang lebih arif dalam mentadbir seluruh alam kepunyaan-Nya









0 comments:

Post a Comment